Rabu, 20 Mei 2015

GOTONG-ROYONG MENGECAT SURAU AL-KAUTHAR

Assalamualaikum, Alhamdulillah pada 17/05/2015 bersamaan 28 Rejab 1436M telah dijalankan kerja-kerja keceriaan surau dengan mengecat separuh dinding keseluruhan surau. Kerja-kerja ini adalah hasil daripada persetujuan ahli jawatankuasa didalam minit mesyuarat kedua baru-baru ini. Warna dipilih berdasarkan kesesuaian padanan warna karpet surau.



En. Hazrul setia bersama pembantu peribadi beliau adik farishyang turut 'membantu' hehe

En. Hakimi memasang alas meja penceramah yang baru

  

En. Rosli berkebolehan dalam bidang elektrik... semua kipas dinding dibuka dan diturunkan untuk memudahkan kerja-kerja mengecat



Sarapan pagi selera pantai timur dari kedai gate 1 Abu Bakar Baginda... Nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak, pulut panggang 


Kerja-kerja 'touch up' pada bahagian yang sempit


Cikgu Zunaidi sebagai Inspector QC bagi memastikan kualiti cat yang terbaik

Pakar Cat dari negara Bangladesh (Imam muda Alam Syah)

Segala kerja-kerja mengecat ditangguhkan selepas solat Zohor berikutan semua ahli sukarelawan terdapat urusan luar yang perlu diselesaikan. InsyaAllah akan disambung semula pada gotong-royong surau minggu hadapan (24/05/2005)

MESYUARAT SURAU AL-KAUTHAR P18R13











Selasa, 19 Mei 2015

Fatwa Larangan Berzikir Memukul Gendang

 Fatwa Larangan Berzikir Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid

Ibadah
Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.

Keputusan: 
 (a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.


Status Penwartaan:  Diwartakan
Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012
Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2
Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002
Negeri: Melaka.
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-larangan-berzikir-memukul-gendang-atau-peralatan-muzik-lain-di-dalam-masjid

Petikan: 

Bagaimana Cara Shalawat Yang Sesuai Sunnah, Dan Bolehkah Shalawat Diiringi Dengan Rebana?


http://almanhaj.or.id/content/3275/slash/0/bagaimana-cara-shalawat-yang-sesuai-sunnah-dan-bolehkah-shalawat-diiringi-dengan-rebana/

Beberapa Perkara Yg Berkaitan:
Ulasan Buku Dr Wahbah Az-Zuhaili: "Bid'ah Munkar":
http://www.abuanasmadani.com/?p=939

Ulasan Tentang Nasyid, Oleh AAM:
http://www.abuanasmadani.com/?p=548

Hukum bergendang dalam masjid;
Fatwa Imam as-Suyuthi rahimahullah (Wafat: 911H):
ومن ذلك الرقص، والغناء في المساجد، وضرب الدف أو الرباب، أو غير ذلك من آلات الطرب.
فمن فعل ذلك في المسجد، فهو مبتدع، ضال، مستحق للطرد والضرب؛ لأنه استخف بما أمر الله بتعظيمه، قال الله تعالى: (في بيوت أذن الله أن ترفع " أي تعظم " ويذكر فيها اسمه)، أي يتلى فيها كتابه. وبيوت الله هي المساجد؛ وقد أمر الله بتعظيمها، وصيانته
ا عن الأقذار، والأوساخ، والصبيان، والمخاط، والثوم، والبصل، وإنشاد الشعر فيها، والغناء والرقص؛ فمن غنى فيها أو رقص فهو مبتدع، ضال مضل، مستحق للعقوبة. الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع - (ج 1 / ص 30) المكتبة الشاملة.
“Dan di antaranya adalah menari, menyanyi di dalam masjid, memukul kompang (atau gendang) atau rebab (sejenis alat muzik bertali seperti biola), atau selain itu dari jenis-jenis alat-alat muzik.
 Maka sesiapa yang melakukan perkara yang tersebut di dalam masjid maka dia adalah mubtadi’ (pelaku bid’ah), sesat, perlu dihalau dan boleh dipukul, kerana dia meremehkan perintah Allah untuk memuliakan masjid. Allah Ta’ala berfirman:
“Bertasbihlah kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan (iaitu menggagungkannya) dan disebut nama-Nya di dalamnya.” (Surah an-Nuur, 24: 36)
Iaitu dibacakan kitab-Nya di dalamnya.
Rumah-rumah Allah adalah masjid-masjid, dan Allah Ta’ala telah memerintahkan untuk memuliakannya, menjaganya dari kotoran, najis, anak-anak, hingus, bawang putih, bawang merah, nasyid-nasyid dan sya’ir di dalamnya, nyanyian dan tarian, dan sesiapa yang bernyanyi atau menari di dalamnya maka dia adalah pelaku bid’ah, sesat dan menyesatkan, dan berhak diberikan hukuman.” (Jalaluddin as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahyu ‘anil Ibtida’), m/s. 30 – Al-Maktabah Asy-Syamilah.

Sumber daripada blog abuanasmadani (Dr. Abdul Basit Abdul Rahman)

Khamis, 7 Mei 2015

Hadith Rejab Bulan Allah, Sya’ban Bulan Nabi.

Soalan: Saya keliru mengenai hadith yang selalu disiarkan oleh media kita apabila datang bulan Rejab dan Sya’ban:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, ada kata sahih, ada kata bukan, tapi ramai juga penceramah yang selalu baca. Apakah kedudukan hadith ini sebenarnya?

Jawapan: Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah)

Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173,Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:
Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Sabtu, 7 Mac 2015

KEJOHANAN FUTSAL MAHABAH MTMZA 2015

Tarikh : 14 Febuari 2015

Surau Al-Kauthar telah menghantar satu pasukan futsal ke Kejohanan Mahabah 2015 anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA)  pada 14 Febuari 2015 ( Sabtu ) yang disetai 12 buah surau Qaryah MTMZA. Alhamdulillah Surau al-Kauthar telah mendapat tempat ketiga. Tahniah, semoga tahun depan menjadi johan. In Sya Allah.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA)




Selasa, 17 Februari 2015

MENJAGA KEBERSIHAN TEMPAT AWAM MENURUT ISLAM

Islam mewajibkan kebersihan dan mengharamkan kekotoran. Bersih dan kotor dalam Islam mempunyai kaitan dengan dosa dan pahala, atau syurga dan nereka. 

1. Masyarakat muslim, pakaian mereka, tempat tinggal mereka, kenderaan mereka dan negara mereka sepatutnya mewakili atau melambangkan ajaran yang mereka hayati. Islam mewajibkantaharah (bersuci) serta menjadi syarat sah untuk ibadah utama iaitu solat yang dikerjakan lima kali sehari. Ertikannya, tubuh, pakaian dan tempat muslim sepatutnya sentiasa mementingkan kebersihan. Islam juga mensyariatkan wuduk, mandi wajib, mandi jumaat dan lain-lain perkara yang mempunyai kaitan dengan kebersihan. Demikian juga kebersihan dalam soal makan dan minum. Seorang muslim yang mengamalkan agamanya secara betul sepatutnya akan menjaga kebersihan dan cintakan kebersihan. Jika hal berlaku sebaliknya, maka itu menunjuk kegagalan menghayati ajaran Islam yang asal, atau sekadar mengamalkan tanpa menghayati ruhnya.
2. Islam juga mengajar disiplin hidup kepada manusia sehingga bab-bab yang dianggap remeh oleh sesetengah masyarakat tetapi diajar oleh Islam. Antaranya Islam mengajar cara dan adab membuat air kecil atau besar (qada hajat).
Golongan Musyrikin pernah mempersoalkan dengan berkata: “Nabi kamu mengajar kamu semua perkara sehinggakan cara buang air?. Jawab Salman al-Farisi: “Ya! Baginda telah melarang kami mengadap kiblat ketika membuang air besar atau kecil, juga melarang kami berintinjak (membersih najis) dengan tangan kanan, melarang kami berinstinjak dengan kurang dari tiga ketul batu dan melarang berinstinjak dengan najis binatang dan tulang” (Riwayat Muslim).
Ini sebahagian peraturan dan adab yang disebut oleh Salman hadis ini. Di sana ada lagi adab dan peraturan yang lain yang disebut dalam hadis-hadis yang pelbagai.

3. Berdasarkan maksud hadis-hadis Nabi s.a.w, maka wajib bagi sesiapa yang menggunakan harta awam memastikan ia digunakan dengan baik dan haram dia menyakiti pengguna selepasnya. Haram baginya dia membiarkan sisa kotoran atau najisnya sehingga menyusah pengguna selepasnya. Ia adalah perbuatan yang buruk dan zalim. Nabi s.a.w bersabda:
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. (Riwayat Muslim).
Hadis ini menyatakan dua perbuatan dilarang atau diharamkan kerana ia boleh membawa orang ramai melaknat pembuatnya disebabkan kesusahan atau kekotoran yang menyakiti mereka. Demikianlah halnya dengan mereka yang menggunakan tandas atau harta awam yang menimbulkan kemarahan dan kutukan pengguna lain.
4. Firman Allah:
“dan mereka yang menyakiti perasaan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka (yang menyakiti itu) telah memikul kesalahan secara dusta, dan berbuat dosa ang amat nyata”. (Surah al-Ahzab: 58).
Ayat ini umum, merangkumi setiap tindakan yang menyakitkan perasaan orang mukmin tanpa alasan yang benar. Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Riyadh al-Salihin meletakkan ayat ini di bawah bab “Larangan Membuang Air Besar Pada Jalan Orang Ramai, Teduhan Mereka, Mataair dan seumpamanya”. Ini kerana perbuatan itu menyebabkan kesakitan perasaan orang lain. Perbuatan seperti itu adalah dosa yang nyata.
5. Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang menyakiti kaum muslimin pada jalan-jalan mereka dia pasti mendapat laknat mereka” (Riwayat al-Tabarani dengan sanad yang hasan).
Perbuatan mengotor atau merosakkan harta awam adalah termasuk dalam menyakiti perasaan kaum muslimin. Maka ia mengundang kutukan dan cercaan mereka. Wajib membersihkan semula atau menggantikannya jika rosak dengan cara yang tidak sepatutnya.

6. Malang sekali, ramai yang tidak perasaan bahawa mereka sebenarnya melakukan dosa apabila mereka mengotor atau merosakkan kemudahan awam sehingga menimbulkan kesusahan kepada orang lain. Nampaknya, pengajian atau pendekatan pengajian agama yang diajar kepada masyarakat kita masih gagal untuk diterjemahkan secara praktikal dari segi prinsip dan ruhnya. Ini terbukti, apabila bukan sedikit tandas masjid atau surau yang tidak melambangkan sifat Islam yang sukakan kebersihan. Malulah umat Islam jika didapati tandas tempat-tempat yang tidak berlambangkan Islam lebih bersih dari tempat-tempat ibadah umat Islam. Kegagalan ini memerlukan koreksi tentang pendekatan pengajian agama yang diamalkan selama ini.

7. Masjid adalah lambang penghayatan Islam. Jika ilmu kebersihan dan taharah yang difardukan Islam gagal untuk diamalkan sekalipun di tandas-tandas yang diperuntukkan untuk mereka yang datang bersolat, maka itu amat memalukan umat Islam. Jika mengotorkan tandas awam di tempat-tempat lain itu satu dosa, maka dosa tersebut tentunya lebih besar jika mengotorkan tandas masjid. Saya cadangkan masjid atau selainnya boleh menulis peringatan seperti‘mengotori atau merosakkan kemudahan awam adalah satu dosa’.
8. Termasuk dalam yang menyebabkan dikutuk atau dilaknat ialah mereka yang tidak amanah terhadap dana awam. Ini termasuk mereka yang rasuah, tidak amanah dalam projek pembinaan harta awam, menyalahgunakan kuasa dan seumpamanya sehingga tempat atau harta awam mudah rosak. Perbuatan mereka ini telah menyebabkan banyak harta awam tidak berkualiti, dibina dengan tahap yang rendah, rosak, bocor dan berbagai lagi. Orang awam akan bersungut dan menyumpah disebabkan perkara-perkara tersebut. Sedangkan duit yang dibina adalah wang rakyat. Mereka yang berbuat demikian termasuk dalam menyakiti orang lain tanpa sebab yang benar.

9. Malanglah bagi negara-negara umat Islam jika mereka lebih kotor dari negara-negara Barat atau bukan Islam. Mesir umpamanya adalah negara yang amat kotor. Sungai Nil menjadi tempat buangan sampah. Memalukan umat di mata bukan Islam apabila melawat pyramid melihat kekotoran Sungai Nil yang tercemar oleh perbuatan masyarakat Islam. Bagaimanakah mungkin masyarakat seperti itu hendak dijadikan teladan?

10. Islam adalah agama yang menjamin kepentingan awam (public interest). Apa sahaja tindakan yang merosakkan kepentingan awam adalah menyanggahi syariat Islam yang mulia. Kepentingan awam adalah antara maqasid (tujuan) syariah Islam ini diturunkan kepada manusia sejagat. Para ulama dan cendiakawan Islam mesti selalu menegaskan prinsip ini.

11. Kesedaran kebersihan sepatutnya hendaklah didahului oleh dunia Islam melebihi dunia lain. Masyarakat Islam melebih masyarakat lain. Individu muslim melebih individu lain.

Rabu, 11 Februari 2015

MESYUARAT PENUBUHAN KAFA DI SURAU AL-KAUTHAR.

Surau Al-Kauthar telah menganjurkan mesyuarat bagi permohonan mengadakan Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di Surau al-Kauthar. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh wakil dari Penyelia KAFA, Putrajaya.

Tarikh : 4 Febuari 2015
Tempat : Surau Al-Kauthar
Masa : Selepas Solat Magrib.