Soalan: Saya keliru
mengenai hadith yang selalu disiarkan oleh media kita apabila datang bulan
Rejab dan Sya’ban:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan
umatku”, ada kata sahih, ada kata bukan, tapi ramai juga penceramah yang selalu
baca. Apakah kedudukan hadith ini sebenarnya?
Jawapan: Ini adalah
hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria:
Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah)
Nama penuhnya Ibn
Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada
tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat
hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan
Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal
fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173,Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Sebab itulah al-Imam
Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:
Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang
paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan
sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala.
Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan
kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan
keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum
al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)
Golongan penceramah,
imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen
penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan
pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat
pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah
s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada
malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga
hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah
palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn
al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Allah
Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan