1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan
Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan
Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang
tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang
membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual
tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang
sahih.
2.
Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis
palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan
fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan
mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus,
puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab
itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:
“Ada beberapa
golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang
menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis
palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima
pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan
menghapuskannya. AlhamdulilLah”.
( Ibn al-Salah,
`Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).
3.
Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan:
“Rejab bulan
Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang
direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah,
al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at
al-Islamiyyah).
Beliau
adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu
mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat:
al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar
al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Kata
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):
“Hadis-hadis
mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah
palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai
puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi
s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban
(kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun
munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
4.
Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih
mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid
Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w
menjawab:
“Syaaban antara
Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat
amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam
keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam
Silsilah al-Sahihah 4/522).
Aisyah
r.aha juga menyebut:
“Aku tidak
pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa
Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa
hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
5.
Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita
amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada
Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian
masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.
6.
Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis
yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga
tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada
malam tersebut.
Kata al-Imam
al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh
al-Muhazzab:
“Solat yang
dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara
Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu
Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang
jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut
al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang
disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu
terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis
kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).
Al-Imam
al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi
al-Ahadith al-Maudu’ah:
“Telah
diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat,
kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).
7.
Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:
“Allah melihat
kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua
hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang
benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai
sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).
Maka,
sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan
amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah
benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak
diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.
8.
Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan
katanya:
“Tidak pernah
diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di
masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat
tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di
sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di
masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang
umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia,
kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf
(para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang
menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan
pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat
dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan
diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam
nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah
golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap
yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah,
1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
9.
Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr
al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu
mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau
mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan
besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan
mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon
keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu,
tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.
DR. MAZA :http://drmaza.com/home/?p=1192
Tiada ulasan:
Catat Ulasan